16 September 1982
Bagi umat manusia di seluruh dunia dewasa ini, tarikh 11 September merupakan tarikh yang mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Tarikh itu juga merupakan tarikh yang telah mengubah lanskap politik dunia, lebih-lebih lagi kepada dasar luar Amerika.
Sayangnya tarikh yang hampir serupa dengan tarikh itu dan ia juga mengandungi tragedi yang hampir pilu seperti peristiwa 11 September itu tidak pula dipedulikan dunia, malah ia majhul dari pengetahuan ramai. Tarikh itu ialah 16 September dan apakah yang berlaku? Peristiwa Shabra dan Shatilla di Beirut, Lubnan.
Peristiwa yang menyaksikan pembunuhan lebih 3000 orang awam rakyat Palestin yang mendiami kem pelarian Shabra dan Shatilla (menurut laporan rasmi oleh Amon Kapeliok, seorang wartawan Israel yang terkenal, namun pihak tentera Israel hanya melaporkan 700 hingga 800 nyawa sahaja, laporan rasmi Palang Merah Antarabangsa pula menyebutkan 2,400 pada 22 September 1982)
seorang ibu yang kehilangan semua anaknya |
Peristiwa itu berlaku pada tahum 1982. Ia merupakan satu tindakan keganasan yang tidak pernah terbayang akan dilakukan oleh manusia yang berakal, apatah lagi sebuah kerajaan.
Jika pihak Amerika menuding jari ke arah Osama Ben Laden dan rangkaian al-Qaeda nya di atas serangan 11 September tanpa sebarang bukti yang kukuh dan meyakinkan. Peristiwa penyembelihan rakyat Palestin di Shabra dan Shatilla pula tiada keraguan lagi bahawa tentera rejim Zionis di bawah pimpinan menteri pertahanannya Ariel Sharon la yang melakukannya.
Tiada siapa yang dapat menafikan pihak Israellah yang melakukan jenayah itu dengan kerjasama kumpulan radikan Kristian Maronite yang menggunakan Kataib mereka dan juga kumpulan militan Kristian al-Haddad. Walaubagaimanapun Dr. Ang Swee Chai di dalam bukunya From Beirut to Jerusalem mempunyai teorinya yang tersendiri.
Beliau sebagai saksi terhadap peristiwa itu percaya bahawa pihak Israel yang 100% terlibat dalam penyembelihan itu dan hanya menggunakan identiti Maronite dan Haddan. Teori itu dilihat bertentangan dengan pengakuan para mangsa penyembelihan itu dalam buku Ku Warnakan Salji Hitam tulisan Dr. Alijah Gordon.
Jika Osama diberikan label pengganas di atas jenayah yang tidak pasti sama ada beliau terlibat atau tidak. Mengapa Ariel Sharon tidak pula dinobatkan dengan pangkat yang sama? Mengapa kerajaan Zionis Israel tidak diberikan darjat yang seperti itu juga? Lebih menarik tiada apa tindakan diperingkat antarabangsa dikenakan ke atas mereka.
Jika pihak Amerika menggembar-gemburkan kematian hampir 4000 orang awam mereka pada 11 September, bagaimana pula dengan 3000 (atau 2,400 orang) rakyat Palestin di kem pelarian Shatilla pada 1 Spetember 1982? Bukankah yang terkorban itu kanak-kanak, wanita yang lemah dan orang-orang tua yang tidak berdaya?
Jika Majlis Keselamatan PBB boleh mengeluarkan ketetapan 1373 dalam persidangannya yang ke-3485 pada 28 September sejurus selepas peristiwa 11 September , mengapa tiada ketetapan yang seumpamanya diluluskan selepas 16 September 1982?
Ketetapan yang telah memberikan Amerika Syarikat sepenuhnya kuasa untuk menjajah mana-mana tampat di muka bumi ini dengan alasan memerangi keganasan itu telah digunakan sebaiknya oleh Amerika. Siapa yang paling beruntung? Sudah tentunya Israel yang pastinya dengan mudah mengarahkan Amerika Syarikat untuk melumpuhkan mana-mana negara yang mereka anggap sebagai ancaman terhadap keselamatan rakyatnya.
Dosa Israel di Shabra dan Shatilla dengan mudah dilupakan dunia. Jika Afghanistan dan Iraq dihancurkan di atas panji melawan keganasan dan menegakkan keadilan, mengapa Israel tidak menikmati nasib yang sama sejak dahulu lagi? Hanya Amerika Syarikat dan pemimpin-pemimpin Arab sahaja yang layak menjawabnya.
Jika Slobodan Milosevic bolh dihadapkan ke mahkamah kerana darah rakyat Bosnia, Saddam kerana darah rakyat Iraq, dan sebelum mereka aparat-aparat Nazi di Nuremberg, mengapa tidak Sharom?
Tindakan negara-negara Islam yang berani untuk menghadapkan Sharon ke muka pengadilan? Bukan hanya Shabra dan Shatilla , malah Baitul Muqaddis lewat 28 September 2000, Jenin 2003, Tebing Barat 2003, Refah 2004, Syeikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz Rantisi dan ribuan lagi rakyat Palestin yang menjadi mangsa insan yang digelar Bull Dozer oleh rakyat negaranya sendiri.
Apa yang berlaku di dunia ini amat sukar difahami. Tiada siapa yang dapat menyelesaikan kerumitan ini. Yang pasti umat Islam akan terus menjadi mangsa keadaan berdasarkan nafsu hegemoni kuasa uni-polar Amerika Syarikat dan umat Islam ramai yang lebih mengenali 11 September dari 16 September.
-dipetik dari Peluru Lawan Batu : Konflik Palestin dan Israel, tulisan Maszlee Malik