Sunday, May 29, 2011

Saat Dunia Sudah Menjadi Kerdil, Sang Mujahid Akan Meminang Bidadari

 

        Antara kejora di ufuk langit Palestin ialah seorang mujahid, as-Syahid Abdullah Rantisi. Beliau atau nama sebenar beliau ialah Aziz Ali Abdul Hafiz ar-Rantisi, dilahirkan pada 23 Oktober 1947 di Kampung yubana yang terletak di antara Asqalan dan Yafa. Hidupnya penuh dengan tamparan ujian yang tidak terduga. Kesakitan ialah guru kepada beliau yang paling berjasa. Dalam usia beliau 6 bulan, beliau telah dibawa oleh ahli keluarganya berhijrah ke Semenanjung gaza untuk menyelamatkan diir daripada ledakan dan amukan peperangan oada tahun 1948 yang menyaksikan kesungguhan umat Islam untuk mempertahankan wilayah suci ini, serta kesungguhan kuasa Barat yang menopang kekuatan gerakan Zionis.

Keluarga beliau yang terdiri daripada ibu bapanya, 2 orang adik beradik perempuan dan sembilan lelaki ini terus menetap di khemah pelarian Khan Yunis yang sarat dengan kekurangan. Dengan latar belakang inilah beliau membesar dengan diserkap kebencian terhadap Yahudi yang menindas. Khemah pelarian ini sangat daif, malah sesak dengan pelbagai wajah duka yang tidak mampu dihuraikan bagaimana dunia Arab amnya mampu menjadi penonton kepada kesakitan mereka, umat Palestin yang sebangsa dengan mereka.

Pendidikan
Rantisi kelihatan genius sejak kecil dengan kecenderungan agama yang ketara, dan tidak suka membuang masa seperti anak-anak yang sebaya dengannya. Saat beliau berusia 6 tahun, Rantisi telah dimasukkan ke sebuah sekolah bantuan pelarian yang didirikan berhampiran dengan penempatan mereka. Kehidupan di kem pengungsian yang agak susah dan melarat telah menyebabkan beliau turut membantu orang tuanya mencari rezeki membantu keluarga. Kehidupan ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Namun inilah wajah kesengsaraan yang melahirkan watak pejuang kepada Rantisi. Beliau menamatkan pengajian rendah dan peringkat menengah pada tahun 1965.

Rantisi cemerlang dalam akademik. Beliau mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Iskandariah , Mesir. Beliau menerima fikrah Ikhwanul Muslimin, ditarbiyah secara sistematik, dan lahir sebagai kader dakwah yang cemerlang. Rantisi telah berjaya menamatkan pengajian beliau dalam bidang kedoktora dengan ijazah kepujian pada tahun 1971. Idealisme anak muda tidak memungkinkan beliau untuk bersenang lenang dengan segulung ijjazah. Ada sebongkah keazaman yang menggelodak dalam jiwa pejuang seperti beliau.

Kejayaan dalam bidang akademik sepatutnya membolehkan beliau hidup dengan kemewahan jika itulah pilihan Rantisi. Namun kesedaran jihadnya sangat tinggi untuk membebaskan Palestin. Beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Palestin, dan bekerja di Hospital Nasr atau lebih dikenali sebagai Pusat Peruatan di Khan Yunis. Setelah beberapa tahun berkhidmat, Rantisi telah kembali semula ke Iskandariah Mesir untuk menyambung sarjana(Master). Kesumgguhan dan kepintaran anugerah Illahi di dalam pelajaran membolehkan beliau merangkul Ijazah Sarjana, dan beliau juga menghafal al-Quran secara bersungguh-sungguh.

Sekali lagi, Rantisi menzahirkan tekadnya menuntut ilmu yang bukannya untuk kemewahan. Jika ingin melahap kemewahan, beliau boleh bertugas di Arab Saudi atau Qatar , dan juga di mana-mana negara yang mewah. Pada tahun 1976, beliau tekad kembali ke Gaza yang daif serta rawan ditusuk kemiskinan melampau dan seterusnya menyambung kembali tugasnya di Hospital Nasir. Beliau pulang pulang ke Mesir kali ini dengan membawa fikrah perjuangan Ikhwanul Muslimin.

Dr. Abdul Aziz Rantisi telah menamatkan zaman bujangnya dengan Rasya ar-Rantasi, atau lebih dikenali sebagai ‘Ummul Muhammad’. Hasil perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan enam orang cahaya mata dengan dua orang anak lelaki (Muhammad dan Ahmad) dan empat perempuan (Inas, Samir, Asia dan Asma’) serta sepuluh orang cucu. Keluarga memahami seruan perjuangan dan ingin berkongsi pahala jihad. Hidup seadanya dengan kesederhanaan sang pejuang.

Apabila Universiti Islam Gaza ditubuhkan pada tahun 1978, Dr. Aziz Rantisi ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Sains. Oleh kerana sayangkan anak muda dan kaderisasi dakwah, maka beliau telah menerima tawaran ini. Di sini, beliau mempunyai peluang untuk mencetak kader-kader baru dakwah. Dalam masa yang sama, beliau merupakan Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Kerajaan di Khan Yunis. Beliau membahagikan masa dengan baik antara kerjaya dan medan amal islami.

Empat Tembok Besi Yang Pengap dan Sombong.
Pada tahun 1983, Rantisi ditangkap kerana keengganannya membayar cukai kepada kerajaan rejim Zionis. Setelah dibebaskan , beliau meneruskan perjuangannya dengan  dengan memperuntukkan sebahagian dari kehidupannya untuk aktiviti-aktiviti perjuangan Islam dan menabur bakti di lading ilmu.

Pada tahun 1987, Rantisi bersama pemimpin gerakan Islam termasuk Sheikh Ahmad Yassin, menubuhkan gerakan Islam HAMAS sebagai wadah baru perjuangan rakyat Palestin yang berteraskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Pada  penghujung tahun berkenaan, Rantisi bersama denga Sheikh Ahmad Yassin, memimpin serta menyeru seluruh rakyat Palestin untuk turun ke medan tempur untuk menentang rejim Israel secara konvensional. Meledak senjata dan perlawanan yang menumpahkan darah. Hanya besi dan api yang akan memenangkan perjuangan umat Islam Palestin. Teriakan takbir membesarkan Allah disambut dari pintu kota ke pintu kota. Dari Rafah ke Khan Yunis, tembus ke jantung Gaza, dan menyelinap panas ke Jabalieh.

Ledakan itu menandakan pelancaran Intifadhah pertama secara rasmi. Peperangan jihad akan menggantikan perjanjian demi perjanjian yang semakin menghimpit warga Palestin. Anak-anak muda mengacungkan tangan ke udara dengan mushaf al-Quran menandakan kebangkitan ini bernuansakan Islam.

 
Kebangkitan yang berterusan telah meruap dan mencemaskan Israel. Rantisi tercokoh di barisan hadapan kebangkitan. Rejim Israel menahan Rantisi pada 4 Februari 1988 untuk meredam kebangkitan anak-anak muda Palestin. Beliau didakwa atas kesalahan menyertai aktiviti menentang penjajah Israel, dan telah dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara. Penjara bukanlah sebuah tembok bisu yang tidak berkutik, melainkan gobok pertapaan yang menguatkan semangat untuk terus berjuang.
Beliau kemudiannya telah dibebaskan oleh rejim Zionis pada 4 September 1990.  Beliau tidak serik untuk memhambakan diri kepada pembebasan bumi Palestin, dan ini menyebabkan beliau ditahan kembali pada 4 Disember 1990. Rantisi telah mendekam semula di penjara selama setahun. 

Dekad 1990-an telah merakamkan sejarah dimana beliau keluar-masuk penjara, malah pernah dibuang daerah ke kawasan perbukitan yang sangat sejuk apabila tiba musim sejuk, apatah lagi dipaksa duduk dalam khemah tanpa pemanas dan alat-alat keperluan yang lain. Ujian dan mehnah bertindan-tindan ini semakin mematang dan mengharumkan nama beliau kepada masyarakat Palestin. Beliau merupakan susuk yang sesuai untuk diletakkan dalam barisan hadapan kepimpinan HAMAS. Rantisi ialah figura doktor jihad yang paling terkehadapan untuk membela Islam, dan beliau didukung kuat oleh keluarganya yang menjiwai perjuangan Islam.

Ketika Sheikh Ahmad Yassin dibedil syahid, air mata dunia Islam tidak mampu ditahan. Tangisan Gaza adalah tangisan para mujahid di mana-mana belahan dunia Islam. Rantisi telah dibaiah oleh anggota –anggota HAMAS. Dia telah bersiap-sedia untuk menjulang api perlawanan. Perjuangan ialah perlaksanaan kata-kata, bukanlah bait-bait indah yang dicurahkan di atas lembaran kertas, sedangkan jiwa kosong, sarat dengan penyakit kedekut, malas dan penakut....

Aku telah bersedia untuk kesyahidan.. aku merindui Syeikh Ahmad… Perjuangan ini telah ku sediakan penjara dan darahku sebagai taruhan… “ Rantisi perlahan mengungkapkan tugu keazaman. Menjadi ketua bukanlah untuk meraih populariti. Tetapi ia adalah segunung pengorbanan.

Takdir Allah telah tercatat, sebagaimana untaian doa yang selalu dititip oleh Dr. Aziz Rantisi. Beliau menemui Allah Sang Pencipta dalam keadaan yang paling mulia. Pada 14 April 2004, beliau telah menemui kesyahidan bersama Akram Nisar dan Al-Ghurrah, iaitu 2 orang anggota HAMAS yang sentiasa mendampingi Rantisi. Jenayah pejuang ini diarak oleh ratusan ribu warga Gaza, Khan Yunis, Rafah dan Jabalieh, dengan penuh semangat yang membara. Takbir dan laungan kalimah tayyibah menghantar mereka ke pusara. Awan kemulus di langit juga berduka menghantar sang pejuang, Solat ghaib diadakan seluruh dunia, merabik hati pencinta perjuangan Palestin.

Rujukan :
Artikel "Saat Dunia Sudah Menjadi Kerdil, Sang Mujahid Akan Meminang Bidadari" oleh Abu Zahra, Majalah Memperingati as-Syahid Sheik Ahmad Yassin, terbitan Jundi Resources.

1 comment:

Einstein junior said...

semoga dimanfaatkan kisahnya untuk kita jadikan butir-butir permata yang menyinari jiwa anak-anak muda untuk menaburkan keringat mereka di jalan dakwah..